Ucapan Dasar Presiden PAS Ucapan Dasar Presiden PAS Muktamar Tahunan PAS ke-55 2009 Islam Memimpin Perubahan Bagi pihak seluruh ahli dan kepimpinan PAS Pusat, saya ucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, dan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang menyeri dan memeriahkan muktamar ini, dengan iringan doa kepada Allah SWT, agar dimasukkan kehadiran ini dalam timbangan amal soleh, yang menjadi bekalan kita di hari akhirat, kerana keyakinan kita kepada dasar dan sifat Islamnya parti yang kita dukung ini. Hadirin dan hadirat yang dihormati, Marilah kita menyatakan kesyukuran kepada Allah, dengan limpah kurnia-Nya, kita semua terus beristiqamah dengan perjuangan yang kita imani kesuciannya, dalam wadah Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS terus mara berjuang sejak beberapa dekad dan kelangsungannya telah bertali arus sepanjang beberapa generasi hinggalah ke hari ini. Kita terus beriman dan beristiqamah dengan aqidah dan ciri-ciri parti Islam yang ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Di atas asas inilah PAS ditubuhkan oleh para alim ulama dan cendekiawan Islam lebih setengah abad yang lalu. Inilah syarat yang menjadi ketetapan Allah kepada Parti Islam yang bercirikan kesinambungan risalah Islam sebenar, dan inilah sebabnya kita menerima ketetapan Allah yang mewajibkan kumpulan Islam sebenar menjadi penerus risalah agama ini, berhadapan dengan pelbagai mehnah dan fitnah. Firman Allah yang bermaksud: "Alif Laam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. [29:1-3] PAS bergerak di atas landasan kesempurnaan ajaran Islam, dengan bercirikan kepimpinan ulama dan kepimpinan berbagai keilmuan, pengalaman, didokong oleh seluruh aktivis PAS di pelbagai peringkat untuk memenuhi segala perintah Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala ajarannya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [2:208] IMBASAN SETAHUN Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang tempoh setahun kita mengadakan Muktamar yang lalu di negeri Perak Darul Ridzuan. Menerusi muktamar itu, antara keputusan terpenting yang kita sama-sama bahas dan susun jalinan kerjanya adalah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, dan dalam masa yang sama PAS mempunyai sikap keterbukaannya untuk bertemu serta berbincang dengan sesiapa sahaja bagi kepentingan Islam dan seterusnya rakyat di dalam negara kita ini. Sepanjang tempoh setahun ini, kita sama-sama melihat pelbagai imej politik dilakarkan dan pelbagai pergolakan politik berlangsung di tanah air kita, sekaligus menjana perubahan lanskap politik negara. Suasana ekonomi yang semakin menekan, punahnya sistem ekonomi liberal-kapitalis, keresahan rakyat jelata dalam mengharungi pentas hidup yang tidak menentu, amalan rasuah yang semakin meningkat, bantahan berterusan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik, perubahan kepimpinan negara dan sebagainya. Kita juga berhadapan dengan beberapa pilihan raya kecil � bermula dengan Parlimen Permatang Pauh yang kita hadapi semasa berlangsungnya muktamar yang lalu, seterusnya pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Batang Ai dan Penanti dan akan bertemu lagi di Manek Urai. Kesemua pilihan raya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur. Walaupun kita berhadapan dengan BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai. Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, kerana hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu. Kejayaan ini tidak akan mampu kita capai tanpa usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera kita dan semua pihak yang sama-sama membantu tanpa habuan wang ringgit. Rupanya kerjasama kita yang sebegini erat, sangat membuatkan pihak tertentu merasa irihati dan merasa bahang kepanasannya. Kemuncak dari keangkuhan mereka ini adalah tindakan tanpa susila merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat yang telah sama-sama kita bina di negeri Perak Darul Ridzuan. Suara rakyat diketepikan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang tidak dilaksanakan, manakala keadilan dicerobohi apabila tiadanya pemisahan kuasa dalam Badan Kehakiman. Kerajaan yang sedang berbakti kepada rakyat telah direntap dengan senjata peras ugut dan rasuah politik. Apa yang lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan dan �standing order� Dewan dilanggari bahkan kedudukan Dewan tempat bersidangnya Dewan Undangan Negeri Perak telah dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa yang kini telah menjadi bahan momokan masyarakat antarabangsa dengan perbuatan tidak bertamadun dan bermoral. Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia, hasil daripada tindakan Umno dan BN yang gelabah, kerana semakin pudar pengaruhnya di hati rakyat Malaysia. ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN Hadirin dan hadirat yang dihormati, Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema Muktamar kali ini iaitu - "Islam Memimpin Perubahan". Kita memimpin untuk merubah masyarakat yang menyanjung tinggi materialistik dan semakin rosak ini kepada ma�aruf. Kita bukan sahaja mencegah kemungkaran, tetapi juga menyokong perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan kekuatan Islam. PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [4:58] Perubahan ini adalah perlu kerana berlakunya kegagalan sistem politik dan ekonomi dalam dunia hari ini. Hasil dari ketidakadilan dan kegagalan pelbagai sistem, kita menyaksikan semakin bertambahnya politik peras ugut dan perkauman di Malaysia. Keruntuhan sistem komunis dan seterusnya kegagalan sistem ekonomi kapitalis yang sedang berlaku pada hari ini adalah menandakan satu bentuk kehancuran ideologi ciptaan manusia. Kita perlu menyedari bahawa perubahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia atas sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah. Dalam kita menerokai sebuah perubahan itu maka kita pun mula bertanya: "Bagaimanakah bentuk perubahan yang kita idam-idamkan itu?" Pada masa yang sama, kita juga mendengar pelbagai slogan daripada kerajaan pimpinan Umno dan BN yang kononnya juga mahukan perubahan. Sepanjang perjalanan sejarah negara, kita bertemu dengan slogan, "Bersih Cekap Amanah", "Kepimpinan Melalui Teladan", "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang", terkini meniupkan slogan "Satu Malaysia". Semuanya adalah retorik, bersifat kosmetik dan akhirnya tidak membuahkan apa-apa yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan pembangunan roh dan jasad bagi negara kita. Kerajaan yang ada sekarang ini boleh saja melaungkan ratusan slogan, tetapi ianya akan terus hanyut kerana sistem pemerintahan yang ada masih sama, kerana Umno dan BN terperangkap dalam sistem dan amalan politik kuno yang bertunjangkan perkauman, bermatlamatkan kebendaan dan penerusan kuasa dalam apa jua keadaan. Kita juga percaya bahawa slogan "Satu Malaysia" juga tidak berupaya mewujudkan suasana negara yang lebih baik kerana dalaman Umno dan BN sendiri bercelaru dan tidak bersatu. Hal ini diburukkan lagi dengan tidak adanya konsep pemisahan kuasa antara eksekutif-legislatif-kehakiman dalam negara kita. Sistem politik pula menjadi celaru oleh keegoan politik, pencerobohan dan kerakusan kuasa mencampuri urusan kehakiman dan pentadbiran. Perpaduan masyarakat pula tidak akan mampu dicapai dengan pemberian hak ekonomi dan politik semata-mata. Perjalanan menuju kepada sebuah negara maju bagi Malaysia pula tidak akan ke mana-mana sekiranya demokrasi kita tidak matang, hasil dari peranan Umno dan BN yang telah memundurkan demokrasi dan rakyat terus menerus dijadikan bahan peras ugut oleh mereka. Istilah demokrasi hanya digunakan untuk mengekalkan kuasa politik mereka. Kehebatan dunia pendidikan Islam pula telah dilemahkan oleh dasar pendidikan tajaan Umno, maka lahirlah pemimpin yang tidak bermoral, yang berkuasa melalui rasuah dan penipuan, rakyatnya pula dibanjiri gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah yang makin merebak, miskin jiwa dan harta, dan akhirnya menjadi pengundi yang boleh ditipu dan dibeli dengan harga yang murah. Inilah cara Umno mengekalkan kuasanya secara tidak beramanah. PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan ta�aruf di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." [4:1] Dan Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." [49:13] Hadirin dan hadirat yang dihormati, Setelah zaman berkembang, maka perubahan adalah sesuatu yang pasti berlaku. Maka setiap perubahan perlu ditangani dengan sebaik mungkin agar perubahan yang berlaku akan hanya menjurus kepada kebaikan dan bukan sebaliknya. Perubahan yang kita rencanakan ini adalah bukan akibat daripada tekanan rakyat, atau tekanan golongan bangsawan atau tekanan masyarakat dunia, dan bukannya akibat desakan sesiapa, tetapi perubahan yang hakiki untuk kesejahteraan hidup manusia di atas muka bumi ini. Perubahan yang hakiki inilah yang seharusnya kita laksanakan dalam negeri yang diperintah secara bersama oleh PAS dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Cukuplah kesilapan-kesilapan asas pemerintahan yang telah dilakukan oleh Umno dan BN. Bertitik tolak dari perubahan hakiki inilah, maka rakyat akan melihat keupayaan dan keadilan hakiki yang kita perjuangkan ini. Matlamat kita mestilah jelas, iaitu kita merencana ke arah kebaikan kerana ianya adalah suatu tuntutan fitrah dan serasi dengan fitrah manusia dan tanggung jawab bersama, dan bukannya kerana desakan sesiapa. Dalam kita memahami perubahan yang dipimpin oleh Islam ini, maka kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah ad-din yang lengkap dan syumul. Ianya tidak sama sekali bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis Barat yang buruk sangka terhadap Islam. Dalam mempastikan perubahan yang berlaku dalam masyarakat hanya bergerak ke arah jalan yang baik, ke arah yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya, maka ianya mesti dipimpin oleh mereka yang beriman dan budiman, menjadikan Al Quran dan As- Sunnah sebagai rujukan asas. Hasilnya kita akan lebih mampu untuk melaksanakan keadilan dalam masyarakat. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan." [5:8] Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti siasah Islam, gerakan dakwah dan tarbiah terus menerus mendokong nilai-nilai Islam yang kekal dan dinamis serta nilai-nilai yang tidak bersifat perkauman. Politik yang kita majukan adalah berteraskan politik li ta'arafu � politik saling menghormati, khususnya bagi negara-bangsa ini yang bersifat majmuk, maka bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian. PAS ingin menampilkan model penyelesaian dan akan terus menyumbang dalam membangunkan masyarakat dan negara dalam abad 15 Hijrah dan 21 Masehi ini. PAS terus menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal. Maka PAS bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia selepas berlangsungnya pilihan raya umum yang ke-13 nanti, insya Allah. DALAMAN NEGARA Hadirin dan hadirat yang dihormati, Kewujudan PAS adalah sebagai penerus kesinambungan perjuangan Islam terdahulu di saat tanah air kita masih dijajah. Persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951 juga telah memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah. PAS pernah menyumbangkan pemimpin dan pengikut yang ditarbiah dengan dizalimi dan ditindas dengan pelbagai cara oleh penjajah, kerana kitalah pejuang kemerdekaan yang sebenar, bukan seperti mereka yang pernah mengejar nikmat dunia semata-mata dengan menjadi khadam kepada penjajah, kemudian berkhidmat lagi selepas merdeka untuk meneruskan perancangan penjajah itu. PAS telah berjaya mendesak bersama NGO Islam di ambang kemerdekaan melalui memorandum kepada Suruhanjaya Reid, mendesak supaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, walau pun Suruhanjaya itu menafsirkan perkataan 'Islam' mengikut fahaman sekular yang dianut oleh ahlinya. Setelah kita merdeka, maka tibalah masanya perkataan besar seperti �agama� dan �Islam� itu ditafsirkan mengikut ad-Din yang sempurna, namun Umno meneruskan tafsiran penjajah itu dengan mereka menjadikan Islam agama yang diperintah mengikut keadaan yang mereka wujudkan. Hasilnya, kita menyaksikan negara tercinta diperintah oleh Umno dengan sistem warisan penjajah, dalam keadaan Islam tetap menjadi agama yang tidak berkuasa dan mereka mencorakkan bangsa yang tidak membangun dengan Islam. Sifat Islam yang adil untuk semua tidak dapat dibuktikan, manakala amalan amar ma�aruf dan nahi mungkar dibelenggu oleh sistem yang menghalangnya. Akhirnya sistem ini tidak membangunkan insan bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Allah SWT. Mereka tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah dengan keadilan dan hikmahnya untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Akibatnya Umno menunjukkan model Islam yang salah kepada rakyat berbagai kaum dan agama, serta menghilangkan kewibawaan umat Islam dan merendahkan martabat raja-raja yang dilantik menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing. Tindakan Umno meminda Perlembagaan merampas kuasa raja-raja bukannya memperkasakan raja-raja dengan kedaulatan Islam, supaya institusi beraja itu berpijak di atas keadilan yang syumul. Sejak memikul amanah memimpin negara, UMNO telah meminda perlembagaan negara beberapa kali, pindaan yang lebih bersifat tikus membaiki labu, kerana lebih bertujuan untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukannya bertujuan islah untuk memerdekakan negara sepenuhnya daripada kongkongan jahiliah yang masih membelenggu dan menghina Islam. Umno juga meneruskan sistem yang melemahkan Bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad, setelah Bahasa Melayu bertulisan jawi menjadi bahasa ilmu di rantau Asia Tenggara. Inilah peranan pemimpin Umno yang menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan menukar tulisan bagi Bahasa Melayu dari tulisan jawi ke tulisan rumi. Apabila ianya diaktakan, maka peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit menuju ke penghujung penggunaannya. Tulisan jawi dilemahkan oleh Umno selepas zaman penjajah asing gagal melemahkannya, dan ini sangat memalukan bangsa Melayu kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, tetapi tulisan jawi Bahasa Melayu dipinggirkan oleh dasar yang digubal oleh Umno sendiri. PPSMI Hari ini, UMNO telah sekali lagi mencatatkan satu sejarah baru dengan meneruskan agenda pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk memajukan bangsa, sedangkan pelbagai kajian di peringkat nasional dan antarabangsa yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa pembelajaran sains dan matematik di peringkat asas ini mestilah dilaksanakan menerusi bahasa ibunda masing-masing. Penafian fakta ini adalah satu bentuk penipuan terhadap daya intelek rakyat sendiri. Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, bahawa PAS tidak anti kepada bahasa Inggeris, atau mana-mana bahasa yang ada di dunia ini. Pandangan PAS adalah sama dengan pandangan para pengkaji dan sarjana bahasa, bahawa pengukuhan terhadap bahasa Inggeris mestilah berasaskan kepada memperkukuhkan pembelajaran bahasa itu sendiri. MARUAH PEMIMPIN NEGARA Hadirin dan hadirat yang dihormati, Perubahan kepimpinan dalam negara kita yang baru sahaja berlaku itu bukannya hal dalaman Umno dan BN semata-mata, tetapi ianya juga turut memberi kesan kepada seluruh rakyat yang bernaung dalam negara Malaysia tercinta ini. PAS berpendapat bahawa kepimpinan adalah merupakan satu amanah yang sangat besar, dan ianya wajib dipikul oleh orang yang bukan sahaja layak dan adil tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya. Risiko mempunyai kepimpinan yang rosak akhlak dan mempunyai seribu satu macam bebanan fitnah adalah sangat tinggi, yang mana maruah negara adalah menjadi taruhannya. Oleh yang demikian, PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan bagi membersihkan pemimpin utama negara yang dipaparkan oleh media asing sebagai mempunyai bebanan kes rasuah dan jenayah. Tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan. Sekiranya tindakan pembetulan ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia. Kita juga diuji dengan belenggu undang-undang zalim ISA sejak zaman penjajah, namun setelah penjajah meninggalkan negara kita, ianya disambung semula oleh Umno serta ditambah lagi dengan akta yang dicipta sepertinya selepas merdeka, seperti OSA, AUKU, Akta Polis, Akta Penerbitan, Akta Mesin Cetak dan sebagainya. Ianya telah berjaya digunakan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Umno dan BN, melindungi kezaliman dan penyelewengan secara undang-undang, dan juga menghakiskan amalan demokrasi, bukannya menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kita berpendapat bahawa untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara hendaklah melalui undang-undang dan sistem kehakiman yang adil bukan dengan undang-undang seperti itu. Pra-syarat utama untuk melahirkan sebuah negara yang subur asas demokrasinya pula mestilah dengan mempunyai sistem penjalanan pilihan raya yang bebas; jelas konsep pemisahan kuasa antara eksekutif - legislatif - kehakiman dalam negara; mematangkan konsep raja berperlembagaan yang dilihat dari perspektif Islam; kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang bertepatan dengan fitrah naluri kemanusiaan, pembaharuan sistem ekonomi dan politik; hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi. PAS menyertai pilihan raya sejak kali pertama diadakan di zaman penjajah, walau pun dengan kejayaan hanya satu kerusi dalam serba kekurangan, tetapi kita berterusan menyertai selepasnya. Di awal kemerdekaan lagi, kita mula belajar menyertai pilihan raya dan PAS telah berjaya mengambil dua buah negeri, iaitu Terengganu dan Kelantan. Pemerintahan kita pada ketika itu berhadapan dengan berbagai-bagai tekanan diskriminasi oleh Kerajaan Pusat, diserang dengan pelbagai cara, termasuklah juga rasuah politik dengan membeli wakil-wakil rakyat. Kita tumbang di Terengganu dan terus bertahan di Kelantan sehingga tahun 1978, di mana akhirnya kita dijatuhkan dengan perisytiharan darurat secara lakonan, apabila mereka gagal memperolehi wakil rakyat yang cukup untuk dibeli. POLITIK WANG Alhamdulillah, hari ini PAS menjadi parti yang selamat daripada banjir politik wang, yang dicipta oleh Umno untuk terus berkuasa, walaupun berhadapan dengan gelombang penolakan oleh rakyat. Umno dan BN tetap mahu berkuasa selama-lamanya walau pun melakukan banyak perlanggaran yang merosakkan negara dan rakyat. Mereka sanggup mencabul Perlembagaan, mengancam perpaduan dan seterusnya mewujudkan politik yang tidak stabil. Sekarang ini penyakit itu memakan diri Umno sendiri dan rakan-rakannya dalam BN, dan sedang menjadi barah dalam dirinya, tanpa segan dan malu. Bagi PAS hanya Islam yang menjadi rahsia ketahanan kita, dengan pengisian tarbiah, dan bai�ah kepada setiap pemimpin dan calon pilihan raya yang dipilih, kita diajar dosa pahala dalam amalan politik. Kita diajar bahawa dosa pahala bukannya terhad dalam perkara ibadat, makan-minum dan pakaian sahaja. Sekarang PAS bangkit menjadi parti yang kukuh dan istiqamah, yang mana kita bertahan lima penggal di Kelantan dengan kelebihan hanya satu kerusi di penggal yang lalu walaupun diusahakan oleh pihak tertentu untuk menumbangnya dengan tekanan dan habuan politik wang-ringgit. Hari ini kita berjaya lagi, walaupun pemerintahan bersama kita di Perak dirampas, tetapi wakil rakyat kita tidak tenggelam dengan politik wang dan ugutan. Rahsia ketahanan kita ialah Islam yang kita imani secara sempurna dalam semua urusan. PAS juga merasa bangga kerana hingga kini ahli-ahli Parlimen kita juga telah bertindak menyuarakan pandangan-pandangan parti dengan penuh keberanian dan hikmah, memberikan gagasan-gagasan baru dalam parlimen sehingga mereka disegani oleh kawan dan lawan. Laksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin dengan landasan Islam, supaya mesej yang kita bawa dapat diikuti dan difahami oleh rakyat yang sangat dahagakan perubahan ini. Di masa ini, kita telah berjaya mengadakan hubungan 'tahalluf siyasi' dengan parti-parti dan NGO, yang mempunyai titik persamaan dalam menangani isu tertentu, tanpa kita berganjak dari dasar dan matlamat PAS. Seruan kita adalah dengan mengajak kepada Islam, dan seterusnya menolak pemimpin diktator yang berlagak seperti Tuhan seolah-olah boleh melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsunya. Kita tidak memaksa mereka menganut Islam dalam aspek ibadah, tetapi kita boleh bersatu dengan mereka yang menentang kezaliman dan tidak boleh bersama dengan orang-orang yang zalim. Pendekatan kita dalam amalan politik yang tidak berpisah dengan agama Islam adalah berpandukan firman Allah yang ditulis dalam perutusan Rasulullah s.a.w. kepada kerajaan di zamannya yang bermaksud: "Marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: 'Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam. [3:64] IKLIM EKONOMI Hadirin dan hadirat yang dihormati, Dunia pada hari ini berdepan dengan krisis kewangan, sekaligus kegawatan ekonomi akibat keruntuhan sistem kewangan Barat berteraskan riba, ihtikar dan gharar. Adalah mengandungi hikmah mengapa Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.w. menyenaraikan riba di kalangan dosa besar, walaupun tidak dimasukkan ke dalam jenayah Qisas dan Hudud, namun ianya diberi amaran yang keras. Akibat muamalat kewangan ini, maka terbitlah pelbagai produk dengan beraneka nama canggih yang diniagakan oleh negara Barat yang bermegah dengan kemajuannya. Bank Dunia mengakui bahawa krisis kali ini melibatkan kerugian bukan berbillion bahkan beberapa trillion dollar Amerika. Setelah dunia melihat pertembungan ekonomi kapitalis dan komunis, kini berlaku pula pertembungan antara negara-negara kapitalis yang merugikan dunia. Kerajaan BN pula berpeluang meletakkan punca krisis ekonomi negara kepada faktor luar yang bersifat global dan kononnya tidak dapat dielakkan. Tindakan kerajaan ini adalah tidak bertanggungjawab, bahkan mengekalkan �sindrom penafian� yang menjadi amalan kerajaan BN selama ini. Lebih parah lagi kerajaan BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama. Rakyat terus menanggung kerugian besar, sementara segelintir pihak kroni terus mengecapi keuntungan semasa ekonomi mewah sedikit waktu dulu dan mereka diselamatkan oleh �bailout� kerajaan BN. Tegasnya, isu utama yang dipertikaikan hingga kini adalah ketelusan dan bertanggungjawaban. Peristiwa Bank Bumiputra yang hidup berkembar dengan pejabat Umno hanya tinggal dalam lipatan sejarah hitam ekonomi negara. PAS juga menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang menguruskan pelaburan rakyat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diuruskan dengan penuh berhemat. PNB yang menguruskan dana berjumlah hampir RM120 billion, semestinya mampu memberi pulangan yang mapan untuk faedah rakyat. Perlu juga diingatkan keperluan untuk mematuhi kehendak syariah dalam setiap pelaburan tersebut. Lembaga Tabung Haji juga mestilah mampu memenuhi tanggungjawab menjaga kepentingan ekonomi umat Islam dan memastikan setiap pelaburan adalah tidak berasaskan spekulatif dan mengambil kira semua risiko yang terlibat. Kini rakyat dan pekerja akan terdedah kepada kesan kemelesetan ekonomi. Beban hutang isi-rumah, kad-kredit dan pinjaman swasta, yang menyaksikan hutang tak-berbayar (NPL) akan terus meningkat. Permintaan dunia telah pun berkurangan dan menyebabkan ekspot kita jatuh. Hal ini jelas dengan pengurangan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) sebanyak 15.8% pada hujung tahun lalu, hasil pengurangan permintaan khususnya di sektor pengeluaran/pembuatan dalam sektor elektrikal dan elektronik, semi konduktor, produk-produk kimia dan juga sektor komoditi. Dengan permintaan yang menurun secara mendadak, pengilang tidak ada cara lain kecuali membuang pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan serta mengelak kerugian besar. Pada hujung tahun 2009 ini, 200,000 pekerja dijangka dibuang dan menjadi penganggur. PAS kerap kali membangkitkan perkara ini supaya segera ditangani. PAS suka mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini. Mentadbir kewangan dan menjadikan pengurusan ekonomi serta membangunkan harta atau �Hifzul Mal�, adalah termasuk dalam perkara-perkara penting, yang disebutkan sebagai lima keperluan hidup manusia atau 'ad-Dharuriyat al-Khamsah' yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah kerajaan yang dibimbing dan ditadbir oleh syari�at Islam. PAS menekankan kepentingan menentukan keutamaan (awlawiyat) dalam kerangka menentukan perbelanjaan, sama ada Perbelanjaan Mengurus dan Membangun serta persoalan sektor utama dan kritikal yang hendak dibangunkan. Acapkali negara diaibkan dengan ketidakcukupan pemakanan seperti beras, sementara negara kita ini dilimpahi dengan tanah pertanian. Tidak salah ingin menjadi negara industri maju, tetapi semua negara maju mempunyai �Kedaulatan dan Keselamatan Pemakan� seperti UK, Jepun, Amerika dan Eropah. Songsang dan bersimpang siur pemikiran pemimpin negara dalam hal pacuan pembangunan negara, sehingga negara hilang daya saing dalam segala hal dan juga tidak punya daya tahan mendepani pelbagai krisis termasuk pemakanan. Laksana "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". PAS juga amat insaf dengan kepentingan asas moral dan nilai agama yang kukuh bagi memastikan kepimpinan politik negara selamat daripada bencana rasuah, penyalahgunaan kuasa serta tamak, rakus dan boros. PAS kembali mengingatkan dirinya bahawa penyelesaian masalah ekonomi manusia bermula dengan memperbetulkan akidah, fikrah dan akhlak, serta iltizam pemimpin kepada tuntutan amanah Allah SWT bagi mentadbir dan memakmurkan bumi dalam rangka tuntutan khilafah dan amanah. PAS mahukan gagasan Sistem Liberal-Kapitalis lapuk yang telah memansuhkan emas sebagai sandaran utama mata wang ditinggalkan. PAS ingin mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas. PAS juga mahukan konsep Pertumbuhan Hijau terus diperkasakan. Falsafah Petumbuhan Hijau amat selari dan sejajar dengan tuntutan tasawwur Islam yang menekankan pembangunan dan pertumbuhan mestilah mengambil kira impak kemusnahan kepada alam sekitar dan sumber-sumber serta aset negara yang tidak mampu diganti. Hijau yang tidak membawa kemusnahan kepada kelangsungan kualiti hidup dan daya saing generasi mendatang, wajar ditekankan dalam paradigma pembangunan lestari. Itulah tasawwur pembangunan memakmurkan bumi yang dianjurkan Islam sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 61. Maksudnya: "Dan kepada kaum Tsamud (Kami utus) saudara mereka Salleh. Salleh berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya karena itu mohonlah keampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." [11:61] Di samping itu PAS menekankan bahawa pembangunan perlu seiring dengan semangat "perkongsian" yang sebenar di antara entiti-entiti bisnes dan perniagaan, atas dasar berkongsi dalam keuntungan dan juga kerugian - "musyarakah bil gharam wal ghanam". Penswastaan perkhidmatan dan keperluan asas seperti perkhidmatan air, elektrik, kesihatan dan pendidikan adalah amat tidak digalakkan kerana membebankan rakyat akhirnya. Sementara Islam adalah mesra perniagaan, tetapi ia tidak mengorbankan kepentingan awam. Golongan berpendapatan rendah, fakir dan miskin, tambah-tambah lagi mesti dilindungi dengan pelbagai kaedah agihan kekayaan dalam pendekatan zakat dan sadaqah bagi membela kehidupan mereka. Di samping itu jaringan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan bagi semua rakyat, agama, kaum dan budaya mestilah juga ditekankan dalam dasar kerajaan. Segala pendekatan positif mesti dilakukan di atas dasar dan prinsip keperluan dan kelayakan secara adil. Inilah prinsip keadilan Islam yang terus dijunjung tinggi oleh PAS dalam semua keadaan. PEMERKASAAN ORGANISASI Hadirin dan hadirat yang dihormati, Hasrat untuk melihat PAS berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat tidak akan dapat dicapai tanpa mempunyai sistem pengurusan parti yang kukuh. Sistem pejabat, pengurusan organisasi dan petugas parti mestilah senantiasa diberikan pelbagai ruang untuk berkembang dalam menghadapi cabaran yang semakin menekan di masa kini dan akan datang. Kursus-kursus peningkatan kemahiran untuk petugas ini perlulah dirancang untuk melahirkan petugas yang hebat dan mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas. Usaha untuk meningkatkan jumlah ahli haruslah dipertingkatkan. Selain dari itu, kualiti ahli sedia ada dan baru juga perlu dijaga supaya mereka akan tahan ujian dan menjadi individu yang menyumbang kepada penerusan perjuangan Islam ini. Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa PAS dianggotai oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya. Sesetengahnya pula menerima didikan awal dari pelbagai organisasi dakwah, dan ada yang tidak mempunyai latar belakang tarbiah Islam langsung. Itulah hakikat kerencaman ahli dalam parti kita ini. Walaupun PAS sungguh terbuka untuk menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS ini perlulah ditarbiah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan oleh PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS. Institusi usrah dipelbagai peringkat pula perlulah diperkukuhkan, untuk melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dengan perjuangan Islam yang kita bawa ini. MASYARAKAT BUKAN ISLAM Sepanjang tempoh puluhan tahun kewujudan PAS ini, kita telah berjaya untuk memecahkan tembok masyarakat bukan Islam yang dahulunya merasa janggal dengan PAS. Pertambahan undi yang diterima oleh PAS dalam beberapa pilihan raya pada masa kini juga menunjukkan sokongan yang semakin hari semakin bertambah. Alhamdulillah, semuanya mampu kita capai dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dirintis oleh para pimpinan PAS yang terdahulu, dimulai dengan penubuhan Majlis Perundingan Cina (CCC) yang sama-sama kita ketahui itu sehinggalah kepada kewujudan Kelab Penyokong PAS pada masa sekarang. Hasilnya PAS mampu untuk lebih memahami keperluan dan suasana yang dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama yang wujud di Malaysia ini. Kita memahami keperluan beragama, politik, ekonomi dan pendidikan untuk masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini. Berasaskan kepada hakikat ini, kita juga telah menunjukkan sikap adil kepada mereka di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS di waktu lalu, dan pemerintahan bersama Pakatan Rakyat pada masa kini. PAS amat menghargai sokongan ini. Oleh yang demikian, bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku dan tahap kefahaman ahli PAS yang semakin bertambah, dan sebagai satu proses memperkasakan Kelab Penyokong PAS, maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli kelab mestilah dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS. Juga dicadangkan kepada penggubal undang-undang PAS, supaya kewujudan kelab ini diinstitusikan menerusi pindaan perlembagaan PAS yang bakal dilaksanakan untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab dan statusnya dalam organisasi parti, keahlian dan peranannya dalam PAS. Sesungguhnya, ini adalah merupakan satu langkah bersejarah dalam parti kita sebagai paradigma baru PAS untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga mengiktiraf ahli kelab untuk menjadi sayap kita yang melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di bawah payung PAS. Inilah kefahaman kita, berasaskan kepada politik Islam yang pernah memerintah berbagai-bagai bangsa dan agama dengan adil, dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan perintah Allah SWT yang beraksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana Agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." [60:8] Selain dari suasana politik baru yang ada pada waktu ini, PAS juga mestilah terus menerus berusaha untuk mencari kaedah-kaedah yang bersesuaian, agresif dan berstrategik untuk memenangi kelompok undi teras yang terdiri daripada pengundi luar bandar dan desa. SABAH DAN SARAWAK Hadirin dan hadirat yang dihormati, Kita juga menyedari kepentingan negeri Sabah dan Sarawak dalam pembangunan negara Malaysia ini. Kita juga menyaksikan bahawa setelah puluhan tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN, status ekonomi, pendidikan dan pembangunan di Sabah dan Sarawak ini tidak banyak berubah, malah ketinggalan dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Ketidakadilan dan kepincangan ini sering pula diluahkan oleh ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam setiap sesi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Walaupun begitu, suara-suara ini tenggelam dalam keangkuhan kerajaan pimpinan Umno dan BN. Oleh yang demikian, PAS perlu mengambil langkah yang agresif dan tersusun, untuk terus melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak, setelah benihnya ditanam oleh generasi terdahulu yang telah dan sedang berada di sana. Kepimpinan PAS pula akan lebih kerap berkunjung ke sana untuk bertemu masyarakat pelbagai etnik dan seterusnya menjelaskan peranan PAS untuk membantu mereka. Para pendokong PAS di sana juga perlulah memperkemaskan organisasi, dan seterusnya mempergiatkan langkah-langkah pengilmuan orang Islam yang berada di sana, menerusi majlis ilmu untuk memberi kefahaman serta tasawwur Islam yang sebenar kepada rakyat. PAS juga akan memperkenalkan Islam kepada penduduk peribumi sehingga mereka memahami dan menyokong perjuangan PAS. PERANAN DEWAN-DEWAN Hadirin dan hadirat yang dihormati, DEWAN ULAMA Sebagaimana yang seringkali diperkatakan, bahawa kewujudan PAS adalah hasil dari silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal, tetapi teras kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air adalah hasil daripada persidangan para ulama pada 23 Ogos 1951 yang membentuk Persatuan Ulama Se-Malaya, dan akhirnya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951 dalam satu persidangan ulama Malaya di Bagan Tuan Kecil, Seberang Prai. Kini kepentingan Dewan Ulama dapat dihayati sekiranya kita meneliti akan tugas-tugas am ahli jawatankuasa kerja Dewan Ulama dalam PAS, seperti yang dinukilkan dalam Perlembagaan PAS. Antaranya dalam Fasal 40 (6)(a) iaitu tugas untuk "menyatu tenaga dan pemikiran ulama Islam bagi memperkuat dan mempertingkatkan perjuangan Islam di negeri ini dan berusaha mengembang dan menyebarkan kefahaman dan kesedaran Islam ke segenap lapisan masyarakat menerusi gerakan dakwah dan penggembelingan tenaga ummah yang berterusan"; serta Fasal 40(6)(b) iaitu "menyusun, mengatur dan menjalankan kegiatan tarbiah dan pendidikan di kalangan ahli-ahli dan mengatur program-program latihan kepimpinan bagi membentuk petugas-petugas parti yang berilmu, bertakwa, berpengalaman dan memahami perkembangan semasa". Kepentingan ini tidak memberi makna sekiranya kewujudan dan peranan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan PAS ini tidak diperkasakan. Oleh itu, sebagai benteng yang sangat penting dalam parti, Dewan Ulama perlulah terus menerus memberikan kefahaman kepada ahli PAS terhadap perjuangan Islam dengan memberi penekanan kepada pembinaan fikrah perjuangan yang jelas, merealisasikan konsep kepimpinan ulama, pemahaman kepada asas sebuah gerakan Islam menerusi konsep wala dan taat, istiqamah, wehdatul fikrah, dan sebagainya. Program untuk menarik golongan ulamak muda yang akan mewarisi perjuangan juga perlulah diperhebatkan, kerana merekalah pelapis ulung yang akan meneruskan kelangsungan perjuangan Islam secara istiqamah. Selain dari itu juga, penglibatan veteran PAS yang tidak lagi memegang jawatan dalam parti perlu dirangka dan diinstitusikan, supaya mereka yang mempunyai pengalaman yang banyak ini dapat terus-menerus menyumbang kepada perjuangan yang dibawa oleh PAS. Program seminar dan muqayyam khusus kepada mereka juga boleh dijalankan. Penegasan bahawa PAS adalah sebuah organisasi Islam yang sempurna juga perlu senantiasa ditanamkan kepada ahli dipelbagai peringkat. Asas ini sebenarnya membawa kepada pemahaman, bahawa untuk menyumbang tenaga dan masa kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak semestinya seseorang itu perlu untuk menyandang jawatan politik � seperti menjadi Ahli Dewan Undangan atau seorang Ahli Parlimen, tetapi ahli-ahli dan pimpinan juga boleh menyumbang tenaga mereka dalam aspek dakwah, tarbiah dan amal serta khidmat kebajikan yang sangat luas dan amat penting kepada kelangsungan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Oleh itu, segala ruang mestilah terus diterokai dan diinstitusikan supaya ahli-ahli PAS dapat sama-sama memainkan peranan mereka. DEWAN PEMUDA Hadirin dan hadirat yang dihormati, Marilah kita menyedari bahawa asas perjuangan yang diletakkan oleh generasi yang terdahulu memerlukan golongan �syabab� sebagai penerusnya. Sehubungan dengan itu, PAS ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dewan Pemuda PAS di semua peringkat kerana terus menarik sokongan pengundi muda kepada PAS termasuk dalam pilihan raya-pilihan raya kecil yang telah berlangsung. Golongan pengundi muda ini adalah sangat penting kepada perjuangan PAS, kerana merekalah generasi yang akan mendominasi geopolitik negara di masa yang akan datang. Berteraskan fenomena inilah, maka Pemuda PAS perlu merangka pelan untuk mengekalkan sokongan orang-orang muda daripada pelbagai latar belakang, kaum, budaya, taraf pendidikan dengan program-program yang bersesuaian, termasuk �mengakhlakkan� aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS. Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama. Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam. Ini adalah kerana realiti sekarang menuntut pemimpin yang bukan sahaja mempunyai ilmu, berintegriti, bahkan berkemampuan untuk mentadbir negara dan berperanan di peringkat antarabangsa. Semoga Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda yang baru dirasmikan di Kok Lanas pada bulan Februari lalu akan melonjakkan kegiatan-kegiatan tarbiah untuk melahirkan kepimpinan yang lebih baik bagi memimpin ummah. Petugas daripada kalangan pemuda khususnya telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya dan kegiatan PAS termasuk menggerakkan massa dalam Himpunan Membantah PPSMI baru-baru ini. Unit Amal di bawah kelolaannya perlu meningkatkan lagi prestasi, sungguh pun telah banyak menerima pujian dan kepercayaan hasil dari tahap disiplin yang tinggi dan perkhidmatan yang diberikan. Perkhidmatan kepada rakyat secara bermusim seperti menjelang hari perayaan dan tidak bermusim seperti bencana alam perlulah diteruskan dengan penuh iltizam tanpa batasan negeri, bangsa dan budaya. Pemuda juga perlu terus pro aktif dalam menghadapi isu-isu dalam negara dengan memimpin ummah di medan dan secara bijaksana berhadapan dengan entiti yang berkenaan. Dalam konteks parti dan kerajaan serta percaturan politik yang serba mungkin dewasa ini, PAS terus menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat. DEWAN MUSLIMAT Hadirin dan hadirat yang dihormati, Golongan muslimat adalah sangat penting dalam perjuangan PAS. Mereka juga perlu memainkan peranan yang besar sesuai dengan posisi sebagai peneraju kepimpinan wanita Malaysia. Komposisi wanita yang melebihi 50 peratus dari penduduk Malaysia, memerlukan muslimat turut bersama di dalam masyarakat dalam usaha membina masyarakat yang bertamadun dengan pendekatan "Da�ie menuju mad�u". Isu-isu wanita dan kewanitaan perlu menjadi agenda fokus dan ditangani oleh Dewan Muslimat menerusi penglibatan dan bersua muka dengan pihak-pihak berwajib. Kepimpinan muslimat mesti menyemarakkan citarasa rakyat agar sokongan yang besar memihak kepada kita. Kehadiran muslimat di tengah masyarakat kota, pinggir bandar dan desa akan menjadi penyuntik dan pembakar semangat ke arah perubahan minda bahawa Islam mampu menerajui perubahan. Penyatuan dan kemantapan jentera muslimat mesti diisi dengan sistem tarbiah yang tersusun dan berterusan. Tarbiah mestilah sentiasa diberi perhatian di semua peringkat kepimpinan bagi memantapkan jentera dan organisasi. Tarbiah mesti diperkasa agar mampu membentuk kepimpinan muslimat yang berilmu, bertaqwa dan jelas dengan fikrah amal jama�ie. Penerapan elemen-elemen keilmuan, akhlak dan kemahiran dalam setiap program dan agenda perlu sentiasa ditekankan untuk melahirkan qiadah dan jundiah, serta 'amilin Muslimat yang sentiasa 'mesra amal dan jihad'. Muslimat juga mesti memainkan peranan mendekati generasi muda dengan membina jambatan-jambatan persahabatan, melalui acara-acara kebersamaan dengan mereka. Persepsi awal dan memahami jiwa segar mereka harus digunakan untuk membantu menyemarakkan lagi sokongan dalam kalangan generasi muda. Pendekatan pengisisan berbentuk ilmiah dan hiburan tidak boleh dikesampingkan dari naluri generasi muda. Kecenderungan sesetengah generasi muda kepada program-program yang berbentuk hiburan harus terarah dan dipimpin. Hiburan yang mendidik dan membina kekentalan jiwa taat kepada Allah SWT harus dipupuk. Dengan ini ianya diharap mampu menghasilkan generasi yang faham dan memihak kepada Islam dan menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Muslimat harus menjadi ikon kebanggaan masyarakat dengan menjalin hubungan dengan kelompok yang kurang bernasib baik dan kurang kemampuan. Muslimat mesti meletakkan diri sebagai pelaksana perkhidmatan dalam hal kebajikan. Ianya termasuklah menjalankan program-program kemasyarakatan yang berbentuk memberi khidmat kaunseling, khidmat kesihatan, klinik guaman dan sebagainya. Program-program khidmat kebajikan tidak seharusnya dijadikan program tempelan, tetapi hendaklah ia menjadi kerja asas yang dilaksanakan di setiap masa. Mewujudkan pasukan-pasukan sukarelawan yang bertugas di satu-satu lokasi yang dikenal-pasti untuk dicurahkan khidmat-bakti pada setiap hujung minggu adalah satu permulaan yang baik. Bahkan muslimat mesti mewujudkan tenaga yang perlu turun ke akar umbi untuk memastikan wanita-wanita mendapat maklumat yang penuh dan jelas tentang Islam dan dasar-dasar parti. Kerja-kerja ini memerlukan kerjasama semua pihak di dalam parti dan kesefahaman semua pihak agar �yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing�. Akhir sekali, gabungan tenaga saf kepimpinan muslimat yang bijak dan berpegang kepada wehdatul fikr dan wehdatul amal, beserta ahli dan penyokong yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan. Pemimpin dan ahli yang iltizam dengan PAS dan istiqamah dalam amal islami dan amal jamai�ie, akan melahirkan 'amilin yang dinantikan serta mampu memenuhi pelaksanaan Islam Memimpin Perubahan. PERSADA ANTARABANGSA Hadirin dan hadirat yang dihormati, Dunia pada hari ini dibayangi pelbagai krisis politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kesemuanya lahir daripada kelemahan dasar dan konsep yang terpesong daripada petunjuk Allah yang bernama Islam, akhirnya manusia yang menjadi mangsanya, termasuklah dalam hubungan antarabangsa. Secara tabiinya, peperangan dan krisis di kalangan bangsa dan negara mustahil dihapuskan, selagi ada golongan yang melampaui batas kemanusiaan dan bertindak zalim. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah zahir keburukan di darat dan laut hasil kerja tangan-tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, agar mereka kembali kepada (petunjuk Allah)." [30:41] Pada ketika ini juga umat Islam sedang memasuki alaf baru dengan penuh ujian dan cabaran. Kedudukan umat Islam terus dihimpit dengan pelbagai tekanan dan ujian yang sangat mencabar. Di mata dunia antarabangsa, maruah serta nyawa umat Islam bagaikan tiada apa-apa harga dan nilai. Lihat sahajalah apa yang terus berlaku di Palestin, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan terkini di Pakistan, seolah-olah harga nyawa umat Islam lebih murah dari haiwan yang hina. PAS amat tersentuh dengan peristiwa yang berlaku di bumi Gaza. Serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini, khususnya Masjid Aqsa, terakhir ialah berlaku di Gaza dengan menggunakan segala kelengkapan kereta kebal, helikopter Apache buatan Amerika serta penggunaan bom fosforus telah mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta merupakan satu jenayah perang yang besar. Hasilnya adalah bantahan secara terbuka di hadapan masyarakat antarabangsa, namun pihak kuasa besar memejamkan mata dan memekakkan telinga. Mereka mengenepikan dasar dan konsep kemanusiaan sejagat dengan terus memberi perlindungan kepada negara haram itu melakukan apa sahaja. Selain dari itu, ada di kalangan negara kuasa besar ini yang menjadi pembekal senjata dan teknologi moden tanpa sekatan. Mereka juga tanpa segan silu bersikap �double standard� dengan mengharamkan rakyat Palestin memiliki senjata dan negara jiran pula dipaksa menjaga keselamatan Zionis Israel yang ganas itu. Apa yang lebih memalukan kita adalah perilaku sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam yang masih dikongkong dengan tekanan hegemoni Zionis di negara umat Islam sendiri. Hasilnya, pimpinan negara umat Islam sendiri yang menambah kesengsaraan umat Islam yang berada di medan ganas ciptaan Zionis ini. Keadaan ini semakin menekan dengan tindakan badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang kesemuanya membisu seribu bahasa, dan tidak malu menggunakan kuasa veto untuk melindungi jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Zionis ini. Islam mengharamkan penganutnya tunduk kepada tindakan yang tidak bermaruah ini. Sehubungan dengan itu, kita mengalu-ngalukan tindakan protes yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki Rejab Tayyeb Erdogan di Persidangan Davos dan Presiden Iran Mahmood Ahmadinejad di Geneva. Kita juga amat mengharapkan adanya sikap susulan daripada negara umat Islam sendiri yang sepatutnya merasa malu dengan contoh yang ditunjukkan oleh negara-negara kecil di Amerika Latin yang menunjukkan simpati kepada rakyat Palestin. Lebih angkuh lagi sehingga kini mereka terus mengepung bumi yang mengandungi penduduk berjumlah 1.5 juta orang itu tanpa sebarang perikemanusiaan. Mereka bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan daripada sampai kepada penduduk yang tidak berdosa. Rakyat Palestin menjadi mangsa sejak setengah abad, tanah air dirompak, dihalau daripada rumah, diroboh pula tempat kediaman, dimusnahkan kebun dan tempat yang menjadi sumber kehidupan dan dibunuh tanpa batas. Di atas tanah rampasan ini pula dibina tempat kediaman pendatang Yahudi, di mana rakyat Palestin pula dipaksa terus menjadi pelarian. Semua kekejaman ini berlaku kerana masyarakat antarabangsa mengizinkan penubuhan negara Zionis Yahudi bernama Israel, dengan alasan sejarah yang bohong dan lapuk. Penubuhan negara haram ini dengan dokongan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh Negara-negara Kuasa Besar Dunia yang menjadi anggota tetap berkuasa veto. Negara haram ini seolah-olah mendapat lesen memiliki senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa dan boleh melakukan jenayah dengan hak kekebalan tanpa hukuman. PAS bersama rakan dalam Pakatan Rakyat telah berjaya mendesak sidang khas Parlimen bagi membela Palestin ketika berlakunya kekejaman di Gaza, seterusnya mendapat keputusan sebulat suara tanpa mengira agama dan fahaman politik, supaya Zionis Israel diheret ke mahkamah antarabangsa kerana kesalahan jenayah kemanusiaan ini. PAS juga telah berjaya memungut sumbangan orang ramai bagi membantu rakyat Palestin dan menyerahnya secara langsung kepada mangsa kezaliman Israel itu. Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadhah yang diterajui oleh Harakah Muqawwamah (Hamas) di bumi suci Palestin. PAS mengutuk sikap 'double standard' kuasa barat yang mempertahankan segala tindakan zalim dan dan tidak bertamadun ini kononnya atas dasar 'memerangi keganasan'. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa. RANTAU ASEAN Hadirin dan hadirat yang dihormati, PAS juga amat prihatin terhadap nasib umat Islam di rantau ini iaitu di Selatan Filipina dan Selatan Thai. Umat Islam di kedua-dua wilayah yang bergolak ini terus dibebani dengan konflik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya. Pertumpahan darah serta kekejaman terus dibiarkan oleh masyarakat dunia, semata-mata kerana kononnya yang menjadi mangsa itu terdiri daripada kumpulan �militan� ataupun 'pengganas Islam' yang mesti dihapuskan. Di Selatan Thai, pertumpahan darah masih berterusan sehingga kini. Begitu juga di Selatan Filipina, hampir 500,000 nyawa telah terkorban secara kejam serta menjadi mangsa pelarian. Namun dunia antarabangsa terus berdiam diri kerana mangsa di bunuh dan dihalau di atas nama memerangi 'pengganas Islam'. PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita agar konflik ini dihentikan segera. Tiada penyelesaian kecuali kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai. Keegoan untuk tidak sanggup duduk berunding tidak akan mendatangkan apa-apa faedah, bahkan akan terus menerus merumitkan keadaan. Saya ingin menegaskan bahawa PAS sentiasa bersedia untuk menjadi �jambatan� bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang tidak berkesudahan ini seperti mana sumbangan dan penglibatan PAS dalam membantu menyelesaikan konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan pemerintah Indonesia. PAS juga amat prihatin dengan perubahan pucuk pimpinan di Amerika Syarikat. Pemilihan Presiden Obama pula diharapkan akan membuka �lampu hijau� ke arah hak-hak �kebebasan bersuara� dan �pendemokrasian� di dunia Islam. Namun saya ingin menegaskan agar kepimpinan Obama harus menerima hakikat bahawa mereka mesti mengikis segala sifat prejudis dan chauvanis, serta memandang remeh terhadap Islam serta penganutnya. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam di serata dunia sedia �berdialog� dan 'bertukar-tukar fikiran' dengan mana-mana pihak termasuk penggubal polisi Rumah Putih di Washington. Sebagai permulaan, Washington mesti melihat gerakan serta pertubuhan Islam sebagai sebahagian dari unsur-unsur positif dan pengukuhan ke arah pendemokrasian di negara-negara Islam seluruhnya. KESIMPULAN Sebagai intipati tindakan bagi para pendokong dan pimpinan PAS, maka izinkan untuk saya simpulkannya dan membuat seruan seperti berikut: i) Saya menyeru kepada semua peringkat ahli parti untuk memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jamaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar-umbi supaya benar-benar menjadi seperti yang dituntut Allah SWT dalam Surah As-Sofff ayat 4, terutamanya Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan-dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan. ii) Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh. iii) Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan kita sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan. iv) Marilah kita terus menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS, bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global. Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini. v) Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'Usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'Mu�asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'Istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan. vi) Marilah kita mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat, sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-13. PENUTUP Akhirnya, dikesempatan ini bagi pihak Muktamar, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Selangor, Panitia Induk Muktamar, Badan Perhubungan PAS Selangor dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-55 ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Marilah kita menghayati akan firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." [24:55] - azm _ ...harakah ( www.nashsisepuluh.spaces.live.com ) ( www.nasharrawy.blogspot.com )
|