TUMPAT - Krisis dua pucuk pimpinan utama Pas dilihat semakin meruncing
menjelang pemilihan parti itu awal Jun ini, dengan timbalan presiden
Mohamad Sabu semakin lantang mengkritik kepimpinan presiden, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu yang akan mempertahankan
jawatannya pada Muktamar Tahunan Pas 2015, mempertikaikan kegagalan
Abdul Hadi untuk menawan Terengganu, selain menyindir tindakan Abdul
Hadi yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.
"Pidatonya (Abdul Hadi) begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya, Rusila
(nama tempat di kawasan Parlimen Marang), kereta 'parking' berbatu, jadi
macam pekan hari bila Tok Guru Abdul Hadi beri kuliah, tapi bila
pilihan raya umum (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan
Nasional (BN)).
"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan Parti Keadilan
(Rakyat), dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil
Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena
berpakat," katanya pada ceramah isu semasa Pas di sini, malam tadi.
Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Abdul Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan parti nanti.
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Ramai pemerhati politik melihat pemilihan Pas pada muktamar tahunan
pada 4 hingga 6 Jun itu nanti sebagai pertandingan antara golongan ulama
dan bukan ulama atau 'erdogan'.
Mat Sabu yang dilihat pemerhati politik sebagai pro kepada DAP, turut
memberikan contoh senario di Kelantan sekitar 80-an ketika Allahyarham
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin Pas Kelantan, tapi gagal
memerintah negeri itu kerana tidak bergabung dengan parti pembangkang.
"Bila lahir parti Semangat 46. Pas berpakat dengan Semangat 46 (untuk)
lawan Umno dan kita menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan
Parlimen (di Kelantan).
"Ertinya sehebat-hebat (Allahyarham) Nik Aziz, dalam hal pilihan raya
umum, (tetap) tak boleh ambil Kelantan (dari BN) melainkan bila tahaluf
(bekerjasama) dengan Semangat 46. Ertinya dalam politik ini kita pakat,
undi banyak, kita berpecah, undi kurang," katanya.
Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan
terus mengekalkan Pas dalam pakatan pembangkang jika dipilih menerajui
parti itu nanti. - Bernama
www.nasharrawy.blogspot.com
No comments:
Post a Comment