Selasa 30 Jun 2009 | 7 Rajab 1430 Hijrah
Gagasan pemikiran Kerajaan Perpaduan, mana silapnya?
Dr Dzulkefly Ahmad
Tue | Jun 30, 09 | 12:08:56 pm MYT
Penulis akan mengakhiri penguatkuasaan 'gag order' yang dikenakannya sendiri. Mentelahan banyak pihak yang menggesa supaya penulis jangan terus membisu. Iklan
Penulisan ini akan mengutarakan penghujahan mengapa gagasan pemikiran Kerajan Perpaduan (KP) ditanggapinya sebagai 'menentang arus' dan berlawanan dengan momentum kebangunan tata orde Politik Baru yang sedang dalam proses pendewasaannya dan sangat-sangat dihajatkan oleh pengundi, sekaligus membela kepentingan rakyat dan kemaslahatan negara.
Penulisan ini terpaksa mengambil pendekatan separa ilmiah dan separa popular. Ringan bagi yang lebih mengetahui, berat bagi yang kurang menekuni. Yang pentingnya hujah ilmiah mesti diutarakan sebelum isu ini dapat ditamatkan secara muktamad.
Sesungguhnya, analisis secara tepat terhadap gagasan ini sukar untuk dilakukan dengan lebih objektif kerana sehingga kini tidak pernah dibentangkan dalam pendekatan akademik (terbuka atau tertutup) melalui satu kertas konsep yang menghuraikan falsafah, maksud dan pengoperasiannya.
Tanpa itu, penilaian terperinci sememangnya sulit. Namun yang dihujjahkan di sini bukanlah aspek detail atau mikronya, tetapi secara makro atau gambaran besarnya. Sebelum itu beberapa 'caveat' atau peringatan awal.
Pertama, kerana yang dilontarkan Presiden parti adalah bersifat pandangan atau 'ijtihad politik' dan tidak bersangkutan secara langsung dengan persoalan hukum, maka penulis amat jelas bahawa ia bukan persoalan halal-haram, atau salah-betul.
Penulisan tertumpu kepada aspek menilai gagasan pemikiran ini di segi ketepatan atau sebaliknya 'ijtihad' politik ini serta kesannya kepada politik negara amnya dan kemaslahatan perjuangan PAS (dan Pakatan) khususnya.
Keduanya, penulis sedar tidak timbul isu tidak wala atau kurang hormat kepada Presiden andainya penulis menolak gagasan pemikiran ini.
Sebabnya? Jelas dalam hal 'pandangan politik' seperti menurunkan strategi atau pendekatan taktik perjuangan, pandangan Rasulullah s.a.w. sendiri pun pernah beberapa kali ditolak oleh para sahabat.
Khubab bin Munzir, contohnya pernah memperbetulkan strategi perang yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Badar ketika jelas bahawa perkara itu adalah dari 'pandangan' Baginda yang menempatkan tentara muslimin di tempat yang tidak strategik dengan kata-kata tegasnya "fainna haza laisa bimanzilin" (ini bukan kedudukan yang paling strategik).
Begitu juga contoh perbezaan pandangan di peperangan Khandak ketika Rasulullah s.a.w. berhajatkan untuk berperang di luar Madinah sementara sahabat-sahabat mahu bertahan dalam kota Madinah. Tidak pula mereka dituduh tidak wala dan tidak mentaati Rasulullah s.a.w. Sayugia bagi semua mengambil faham.
Cuma alangkah baiknya kalau kesemua lontaran ide ini ditangani dengan lebih cermat melalui saluran pemutusan sesuatu ide dalam parti. Namun penulis, selaku optimis tegar, bersedia menerima bahawa di sebaliknya kegawatan dan ribut ini, mungkin ada kebaikan yang tidak semua dapat membaca dan mencerapnya. Mungkin juga kita perlu belajar dari kesilapan.
Juga, amatlah diyakini bahawa Presiden PAS sebagai seorang pemimpin negara, telah menggerakkan agenda KP ini untuk semata-mata bertujuan membawa negara keluar dari pelbagai krisis yang tidak berkesudahan dan kemelut yang berpanjangan termasuk impak kemelesetan ekonomi, kereputan institusi-institusi kritikal negara seperti Kehakiman, PDRM, SPRM, SPK dsbnya, sementara mengambil pelbagai kemaslahatan memperbaikki demokrasi dalam pendekatan KP ini.
Pokoknya dan tegasnya, konsep Kerajaan Perpaduan adalah satu pemerintahan yang akan menggembleng seluruh parti-parti politik dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menangani krisis yang dihadapi negara sehingga diharapkan dapat ditangani bahaya-bencana kebrentakan kemelut ini.
Oleh itu kerap dikatakan Presiden PAS bahawa dalam KP tidak ada 'pembangkang', kerana kesemuanya 'memerintah' dan amat menasabah juga bahawa pengagihan kedudukan kementerian adalah berdasarkan dan berkadar dengan kekuatan kedudukan kerusi setiap parti komponen BN atau Pakatan di Parlimen dalam pentadbiran KP.
Cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai 'utopian' atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik sistem pelbagai parti ala-Westminster seperti di negara ini.
Pun begitu, ini bukan sebabnya gagasan KP ini patut ditolak kerana sukar untuk dilaksanakan. Ia juga tidak wajar ditolak atas sebab tidak kesemua parti-parti komponen BN dan Pakatan bersetuju untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan ini. Sememangnya ada komponen BN atau Pakatan yang menolak gagasan ini atas apa pun sebab perhitungan politik mereka masing-masing.
Sebaliknya, berikut adalah sebab-sebab utama mengapa Kerajaan Perpaduan wajar ditolak rakyat demi kepentingan negara.
Pertama:
Dalam kebangunan landskap politik negara yang semakin menampakkan kecenderungan ke arah mematangkan amalan demokrasi ala-Westminster ini ke arah 'Sistem 2 �Parti' yakni Barisan lawan Pakatan, apa jua tindakan yang merencat dan menghalang pendewasaan trend politik tesebut adalah satu yang ditanggapi 'pundit politik' sebagai satu 'Retrogression' atau "Songsang" dan 'Berpatah-Balik'.
Kerajaan Perpaduan, dalam apa jua bentuknya, di segi ini adalah bertentangan dan berlawanan dengan penyongsongan kebangunan politik baru tanah air atau "political trajectory of a new Malaysia."
'Sistem 2-Parti' sebagai yang membuka satu lambaran landskap baru memberi peluang untuk kita contohi amalan politik negara-negara maju di Barat.
Mungkin ada yang menyanggah, buat apa ikut Amerika atau United Kingdom? Betul, tapi nampaknya sehingga kini tidak ada lagi contoh negara umat Islam yang layak diteladani di segi kematangan amalan demokrasi dalam abad 21 Masehi atau 15 Hijrah ini.
Sistem semak-imbang urus-tadbir yang mantap meninggalkan kesan yang baik bagi negara dan ini juga adalah anjuran Al-Quran dalam 2 ayat (Al-Baqarah, Al-Hajj).
Maka ini langkah pertama, bagi mempersiapkan negara yang bakal menyaksikan perubahan kepimpinan politik di peringkat Pusat dalam PRU ke-13. Pertandingan BN lawan Pakatan diramal menjadi lebih sengit dan tajam sekali ke depan ini.
Ingat PRU ke-12 bukanlah pertandingan sistem 2-Parti. Pakatan ditubuhkan atas kepentingan parti-parti pembangkang untuk menjadi pemerintah selepas pilihan raya di 5 buah negeri dan tidak sebelumnya.
Maka pembentukan sistem 2-Parti di negara ini serentak menginstitusikan amalan 'semak-imbang' demokrasi yang mengiktiraf dua parti besar yang sentiasa bertarung bagi merebut kerpercayaan rakyat dan kuasa pemerintahan, sekaligus mengingatkan Barisan Nasional bahawa di sana ada sebuah lagi kerajaan yang bakal mengambil alih negara ini andainya pemulihan keyakinan rakyat gagal dicapai oleh BN dalam pemerintahan parlimen ke-12 ini.
Segala petanda sehingga kini mengisyaratkan BN akan gagal memulihkan keyakinan rakyat untuk kembali menyokong mereka. Dengan kata lain, sistem 2-parti mempersiapkan psikologi rakyat, persiapan birokrasi dan kesediaan negara bahawa pertukaran kerajaan bukanlah satu kiamat kecil bagi BN. Akan silih berganti peralihan kuasa dan pemerintahan seperti yang disebutkan juga di dalam Al-Quran (Ali-Imran: 140). Nah, itu lebih cantik penghujjahannya.
Kedua:
Penulis beralih menghujjahkan ketidaktepatan gagasan KP di segi disiplin ilmu Usul Fiqh. Benar, Presiden PAS bertindak bagi mengambil pelbagai kemaslahatan untuk mengatasi kedudukan kemelut dan krisis yang mendepani negara dan bermatlamatkan kepentingan rakyat.
Kesemua itu adalah perkara-perkara yang boleh disebutkan dalam istilah 'maslahah' yang hendak dicapai, walaupun belum pasti mampu dicapai dengan pendekatan KP ini.
Dalam usaha untuk mendapatkan pelbagai kemaslahatan ini, penulis mengingatkan parti bahawa perhitungan 'mafsadah' atau 'kemudaratan' perlu diambil kira. Tidak ada yang lebih besar dari perhitungan kemudaratan kepada perjuangan parti.
Tegasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam yang mengambil pentas dan memilih garis demokrasi sebagai jalan dan wasilah untuk merealisasikan perjuangan Parti Islam SeMalaysia, PAS ini, maka persoalan mendapat dan mengekalkan Sokongan dan Mandat Rakyat adalah perkiraan paling awla (utama) dalam perjuangan parti.
Justeru itu, PAS perlu menegaskan kepada kesemua peringkat pimpinan dan aktivis parti bahawa sementara PAS wajar mengekalkan sokongan tegar kaum Melayu-Islam, buat julung-julung kalinya juga PAS telah memecahkan tembok prajudis kaum Bukan-Melayu-Bukan Islam, lantas diberikan kepercayaan dan mandat sokongan oleh golongan kaum tersebut.
Kesemua ini adalah hasil usaha PAS secara berterusan dengan pelbagai pendekatan yang Inklusif dan Telus, untuk membuktikan bahawa perjuangan �PAS Untuk Semua� itu adalah satu komitmen parti Islam ini dan bukannya satu retorik kosong.
Bergantung kepada demografi negeri dan kawasan pilihan raya, sokongan kelompok pengundi Melayu-Cina-India adalah sangat-sangat memberangsangkan kepada PAS (dan Pakatan) mutakhir ini.
Keseluruhan sokongan ini perlu diurus dengan baik bagi terus meningkatkan sokongan kepada parti Islam ini.
Di sesetengah kawasan kerusi campuran, sokongan kaum Cina boleh sahaja mencecah 60-70% bahkan lebih, sementara kaum India sehingga 55-60%. Sokongan kaum Melayu kepada PAS masih berlegar disekitar 40-50% di negeri-negeri Pantai Barat dan sedikit melebihi itu di Kelantan dan Kedah.
Adalah amat wajar pimpinan parti diperingatkan bahawa dalam apa jua gagasan politik yang mahu dilontarkan bahawa kesan secara jangka pendek, sederhana dan jangka jauh perlu diperhatikan secara cermat dan strategik. Betul kita mahu mengambil kemaslahatan, tetapi perhitungan kemudaratan juga perlu dibuat dengan teliti.
Bahkan dalam hal menggunakan hujah Usul Fiqh sekalipun, kita akan berdepan dengan satu tuntutan prinsip yang menegaskan bahawa:
"Dar al-Mafaasid muqaddamun ala jalbi al-Masoleh" (Menolak Kemudaratan adalah lebih penting dari mengambil Kemaslahatan.)
Berpandukan tuntutan kaedah Fiqh ini, maka meskipun ada kemaslahatn yang hendak dicapai dalam tindakan menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan (yang belum tentunya dapat dicapai pun), maka menolak kemudaratan yakni kehilangan sokongan rakyat dalam perjuangan sebuah parti Islam, adalah jelasnya lebih awla dan penting di segi perhitungan Syarak.
Bersandarkan kepada hujah tersebut, adalah juga penting bagi pimpinan tertinggi parti untuk mencermati segala lontaran gagasan pemikiran supaya tidak menjejaskan Mandat atau Sokongan Rakyat (Al-Masdaqiyyah Al-Ijtima�iyyah).
Lebih-lebih lagi kalau tindakan kita itu menghakis kepercayaan kepada pimpinan parti akibat perbuatan kita sendiri yang dilihat mengkhianati kepercayaan rakyat atau dipersepsi membelakangi prinsip-prinsip Keadilan dan sekaligus boleh membawa kebrentakan dan konflik dalaman dalam Pakatan.
Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w mendapat dan mengekalkan sokongan kaum Bukan �Islam dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani dan juga Musyrikin) di Kota Madinah yang jelasnya ketika hijrah, Baginda adalah golongan minoriti dan bukan majoriti.
Ketiga:
Hujah ketiga yang bersandarkan sumber 'Tajribah' atau Pengalaman parti ini dengan Umno/BN, maka tidak wajar penulis menurun segala pengalaman pahit sama ada 'bersama' dengan Umno/BN, tambah-tambah kalau 'bersaing' dengan Umno/BN. Cukup setiap seorang kita menghitung pengalaman masing-masing.
Jelasnya Umno mengeletek kesukaan mendapat tawaran PAS untuk menyelesaikan kemelut negara natijah buruk segala perilaku kebobrokan kepimpinan parti terbesar Melayu itu, seumpama orang mengantuk disorong bantal, pucuk dicita ulam mendatang.
Atau dengan kata lain memang Umno/BN sangat-sangat berhajat untuk meneruskan dialog dan muzakarah Kerajaan Perpaduan ini dengan PAS, bukan untuk menyanggupinya tetapi sudah cukup besar menafaat yang mereka kecapi kalau 'muzakarah' tersebut boleh dimulakan bagi menyaksikan kebrentakan di pihak PAS dan Pakatan dan runtuhnya sokongan Bukan Melayu-Bukan-Islam kepada PAS.
KP adalah seumpama suntikan 'booster' untuk Umno/BN untuk terus mendapat talian hayatnya, sementara suntikan racun kepada PAS/Pakatan. Dengan izin Allah Azza Wajalla jualah segala-galanya berakhir dengan Kebijaksanaan Politik berpihak kepada PAS/Pakatan tatkala tertolak gagasan Kerajaan Perpaduan.
Semoga Perjuangan ini di pelihara Allah Azza Wajalla. Amin Ya Rabb! - mks.
(Penulis adalah AJK PAS Pusat) _ Harakah
( www.nashsisepuluh.spaces.live.com ) ( www.nasharrawy.blogspot.com )
D ATROCITIES OF INTRUDER TERRORIST ZIONIST ISRAEL , AMERICA N UNO !! IN GAZA! RAMADHAN 2014 !!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment