PKR Kedah lapor polis
Hsiao Leung (depan, tiga dari kiri) bersama penyokong PR membuat demonstrasi di pekarangan IPD Kota Setar, semalam.
ALOR SETAR – PKR Kedah membuat satu laporan polis berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya yang didakwa menyifatkan pengundi Cina pada PRU13 sebagai rasis.

Ketua Biro Undang-undang PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, kenyataan Mahathir adalah satu serangan yang tidak adil dan tidak rasional untuk menuduh orang Cina yang tidak menyokong BN sebagai cubaan meminggirkan orang Melayu dalam politik dan ekonomi negara.

Beliau berkata, dakwaan tersebut adalah amat serius yang boleh membangkitkan perasaan benci antara kaum Cina dan Melayu.

“Ini adalah satu kenyataan yang boleh mengancam ketenteraman dan keharmonian negara yang selama ini dikongsi oleh semua kaum di Malaysia,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Hsiao Leung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, laporan polis itu dibuat berikutan mahu pihak polis dan peguam negara menyiasat kenyataan dan niat sebenar Mahathir.

“Beliau sepatutnya mengambil peluang ini untuk mengkaji semula sebab dan mengapa hampir 52 peratus rakyat Malaysia menolak mereka pada PRU13 dan bukannya mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan serta merosakkan hubungan antara kaum,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencabar Mahathir menghadiri himpunan Blackout 505 yang akan diadakan nanti untuk melihat sendiri sama ada himpunan tersebut dihadiri orang Cina atau pelbagai kaum.

“Saya jemput dia hadir sendiri menilai dakwaan itu. Saya yakin penganjur himpunan akan mengalu-alukan kehadiran beliau,” katanya.

Sebelum ini, Mahathir menerusi blognya berkata, sebahagian besar daripada peserta siri himpunan yang diadakan di seluruh negara selepas PRU13 adalah terdiri daripada kaum Cina.

Kenyataan menerusi blog chedet.cc itu turut menyatakan bahawa perhimpunan secara umumnya itu merupakan isu melibatkan orang Cina dan meramalkan perkembangan itu akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih serius, manakala orang Melayu akan terus disisih dari ekonomi dan politik.
BANGSA MALAYSIA PEACEFUL RALLY IS A MULTI-RACIAL RALLY ; FULL OF LOVES N HUMANISM BROTHERHOOD !  ..... Nash Ar-Rawy/8.6.13
http://greenboc.blogspot.com,